CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, January 27, 2013

BIJAKSANA LAKSANA SANTO THOMAS AQUINAS

Hari ini pembacaan Injil pada 27 Januari 2013 (Isnin) bagi gereja Katolik adalah Markus 3:22-30 dan kita juga merayakan imam dan ahli ilmuan Katolik iaitu Santo Thomas Aquinas. 

"Salib memberi contoh setiap keutamaan. Jika kamu mencari contoh kerendahan hati, 
lihatlah pada salib " [Santo Thomas Aquinas]

Doa: Allah Bapa yang maha baik, kami mengucap syukur atas keselamatan yang diberikan kepada kami untuk mengagumi keindahan hidup. Berilah kami kekuatan untuk mewartakan kebahagiaan itu kepada sesama kami. Dengan pengantaraan Yesus Kristus Tuhan kami. Amen.


Inilah Injil Yesus Kristus mengikut Markus 3:22-30:

KESUDAHAN SYAITAN TELAH TIBA 
"Beberapa orang guru Taurat yang datang dari Yerusalem berkata, 'Dia dirasuk oleh Beelzebul! Dia diberikan kuasa oleh ketua roh jahat untuk mengusir roh jahat.' Oleh itu Yesus memanggil semua orang itu lalu menceritakan beberapa perumpamaan kepada mereka. Dia berkata, 'Bagaimana Iblis boleh mengusir Iblis? Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, akan runtuh. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur. Oleh itu, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, kerajaan itu tidak tahan lama dan pasti akan lenyap. Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam rumah orang yang kuat dan merampas hartanya, kecuali dia terlebih dahulu mengikat orang kuat itu. Setelah itu, barulah dia dapat merampas hartanya. Ingatlah! Segala dos yang dilakukan orang dan semua kata kufur yang diucapkan mereka, dapat diampunkan. Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah, tidak dapat diampuni! Dia telah melakukan dosa yang kekal!' (Yesus berkata demikian kerana ada orang berkata, 'Dia dirasuk roh jahat.')" [Markus 3:22-30]

Renungan: Hari ini kita merayakan seorang Pujangga besar Gereja, Santo Thomas Aquinas (1225–1274). Ia adalah seorang ahli falsafah dan teologi dari Itali yang sangat berpengaruh, khususnya pada Abad Pertengahan. Santo Thomas Aquinas lahir dari keluarga bangsawan yang alim. Sejak usia lima tahun, Santo Thomas Aquinas diserahkan ke biara Benedictine di Monte Casino agar untuk menjadi biarawan Benedictine  Namun, pada usia 19 tahun, Santo Thomas Aquinas memilih untuk mengikuti Dominican Order.

Santo Thomas Aquinas menulis banyak buku. Karyanya yang terkenal adalah Summa Theologiae yang banyak dijadikan rujukan hingga saat ini. Santo Thomas Aqunias yang bijaksana menggunakan seluruh kemampuan akal budinya untuk cuba memahami Allah. Menurutnya, akal budi manusia dapat mengetahui kehadiran Allah. Pemikiran Santo Thomas Aquinas tentang hal ini dapat ditemukan dalam ’Lima Jalan atau Quinque Viae’ untuk mengetahui Allah.

Santo Thomas Aquinas telah memberi teladan agar kita menggunakan akal budi kita semaksima yang  mungkin untuk mengerti Allah. Kita tak boleh malas untuk menggunakan kemampuan berfikir kita. Walaubagaimanapun, kita juga sedar bahawa Allah terlalu besar untuk dapat kita mengerti sepenuhnya. Sehebat apa pun kemampuan kita, tak ada ertinya dibanding kebesaran Allah.

Doa: Tuhan, doronglah aku agar mau menggunakan akal budiku semaksima mungkin sebagaimana telah dicontohkan Santo Thomas Aquinas. Amen.

Tentang Roh Kudus yang dijanjikan, Yesus berkata “Dan kalau Ia datang, Ia akan menginsafkan dunia akan dosa, kebenaran dan penghakiman.” (Yoh 16:8). Oleh karena itu, tugas utama Roh Kudus adalah ‘menginsafkan’ manusia dari dosanya. Jika manusia tidak mahu insaf, maka dia berdosa melawan Roh Kudus. Maka adalah benar, kalau seseorang menolak Roh Kudus, bererti dia menolak kebenaran dan menolak kasih Allah, serta menolak pengampunan dari Allah, maka tidak mungkin diampuni baik di kehidupan sekarang mahupun yang akan datang. [Santo Thomas Aquinas]

-Duc in Altum-













KEBERSAMAAN DI DALAM KELUARGA MENGIKUT FIRMAN TUHAN


"Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu dikuatkan. Kerana Kristus mengasihi kamu, kamu dihiburkan. Kamu dipimpin oleh Roh Allah, dan kamu saling mengasihi serta saling berbelas kasihan. Aku berharap saudara semua dapat benar-benar menyenangkan hatiku dengan hidup seia sekata, saling mengasihi dengan kasih sayang yang sama. Jangan lakukan sesuatu bagi kepentingan diri sendiri, atau kerana menyombong diri. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik dari diri sendiri. Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri. Sikap kamu hendaklah seperti sikap Kristus Yesus: Sebenarnya Dia Ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang Ilahi harus dipertahankan-Nya. Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia, dan hidup seperti manusia. Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati - iaitu mati diatas salib." [Filipi 2:1-8]

Hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan yang teguh amat penting dalam kehidupan kita seharian. Walaubagaimanapun ini boleh terputus sekiranya salah seorang daripadanya memutuskan hubungan akidah di antara mereka kerana rapuhnya iman Kristian. Rapuhnya iman Kristian adalah kerana tiadanya kebersamaan di dalam keluarga tersebut. Sekiranya perkara ini terjadi,maka terpisahlah hubungan ibu, bapa, anak-anak serta kaum keluarga yang lain. Ini bermakna mereka tidak dapat mendatangkan apa-apa faedah yang boleh membantu antara satu sama lain ketika di akhirat kelak. Justeru itu marilah kita bersama-sama saling bantu membantu dalam usaha memelihara iman Kristian dan juga menekankan kepentingan kebersamaan di kalangan anggota keluarga khususnya dan keseluruhan umat Kristian amnya. Sayangi keluarga anda kerana mengalir darah serta keturunan yang sama dalam diri kita.


“Kita perlu menemukan kembali perjalanan iman, supaya keluarga menemukan kembali sukacita dalam percaya dan keghairahan untuk menyampaikan iman” [Pope Benedict XVI]










-Duc in Altum-


KITAB SUCI SANTAPAN ROHANI



Hari ini 27 Januari 2013 adalah hari Ahad minggu yang ketiga di dalam Tahun C. Pembacaan Injil seperti yang ditetapkan oleh gereja Katolik adalah pembacaan dari Nehemia 8:3-5a, 6-7, 9-11; 1 Korintus 12:12-30 dan Lukas 1:1-4, 4:14-21. Ketika membaca dan merenungkan bacaan-bacaan hari ini, khususnya bacaan pertama dan Injil, saya telah  menangkap salah satu pesan utama untuk kita semua, iaitu pentingnya Kitab Suci di dalam hidup kita sebagai umat Kristian. Dalam pembacaan pertama [Nehemia 8:3-5a, 6-7, 9-11] dikisahkan bagaimana Imam Ezra membawa Kitab Taurat ke hadapan jemaah. Kitab itu kemudiannya dibacakan dengan jelas, dengan diberi keterangan-keterangan, sehinggalah seluruh jemaah memahaminya. Jemaah pun mendengarnya dengan penuh perhatian, kemudian berlutut dan sujud menyembah kepada Allah.


Sementara itu, pada bahagian awal bacaan Injil (Lukas 1:1-4; 4:14-21), Santo Lukas menceritakan bagaimana beliau menulis Injilnya. Sebelum menulis Injilnya, beliau melakukan penyelidikan sepenuhnya mengenai peristiwa-peristiwa berkaitan kehidupan Yesus. Maka, tidak hairanlah beliau menampilkan kisah-kisah yang khas dan tidak terdapat dalam Injil-Injil yang lain, misalnya kisah kanak-kanak Yesus (Lukas 1-2). Santo Lukas menulis Injilnya dengan tujuan agar kita dapat mengenali dengan lebih dekat siapakah Yesus Kristus yang kita imani. 

Apa yang dilakukan Yesus dengan membaca nas Kitab Suci kemudian menegaskan bahawa “Pada hari ini genaplah nas ini sewaktu kamu mendengarnya” juga menegaskan betapa pentingnya Kitab Suci dalam kehidupan Yesus. Yesus datang untuk memenuhi nas Kitab Suci.

Oleh itu, pesanan Sabda Tuhan hari ini sangat jelas, iaitu agar kita mencintai Sabda Tuhan yang terlulis dalam Kitab Suci. Kita diajak untuk tekun dan setia membaca dan membacakan Kitab Suci seperti yang dilakukan Imam Ezra; kemudian mengkajinya seperti yang dilakukan Santo Lukas dengan merenungkannya; setelah itu mewartakannya; dan yang tidak boleh dilupakan, kita harus memenuhinya seperti yang dilakukan oleh Yesus.

Seringkali kita ragu-ragu bahkan berasa takut untuk membaca Kitab Suci. Kita merasa takut kalau disalah ertikan. Kita merasa tidak ada gunanya membaca Kitab Suci kalau kita tidak mampu memahaminya. Namun, alasan yang sebenar-benarnya adalah kita ini MALAS untuk membaca Kitab Suci. Mulai sekarang, kita tidak perlu takut dan ragu membaca dan merenungkan Kitab Suci, meskipun tidak tahu atau tidak memahami maksudnya. Percayalah, bahawa Kitab Suci yang kita baca dan renungkan – meskipun kita kurang memahaminya – tetap akan berkarya dalam diri kita dengan cara-cara yang tidak kita ketahui. Bukankah kalau kita makan, kita juga tidak memahami sepenuhnya kandungan zat-zat dari makanan tersebut, apalagi kegunaan setiap zat-zat tersebut di dalam tubuh kita. Namun, begitu kita makan, tubuh kita akan memprosesnya sehingga kita hidup, sihat dan memperoleh kekuatan atau tenaga. Begitu juga dengan Sabda Tuhan, ia dengan sendirinya akan melalui proses di dalam jiwa kita.

Seringkali kita juga berfikir dan berkata “Ah, apa gunanya membaca Kitab Suci dan mendengarkan homili atau khutbah, selepas ini sudah pasti akan dilupakan semuanya”. Kalau kita berfikir demikian,cuba kita tanyakan kepada seorang suami yang telah berumahtangga selama 30 tahun ataupun paling kurang 20 tahun. Setiap hari, sudah pasti dia akan makan makanan hasil air tangan isterinya sendiri. Namun, saya jamin bahawa si suami tersebut tidak akan ingat 30 tahun yang lalu isterinya masak apa; 20 tahun yang lalu apa yang isterinya masak; 10 tahun yang lalu apa yang isterinya masak. Bahkan, apa yang dimasak isterinya seminggu yang lalu saja mungkin sudah dilupakan. Namun, kerana hari demi hari, dia memakan hasil masakan yang disediakan oleh isterinya tanpa mengingatnya tapi ternyata dia tetap hidup, sihat dan memperoleh kekuatan untuk bekerja. Bukankah Sabda Tuhan itu merupakan makanan rohani bagi kita, yang kalau kita tekun dan setia membaca dan merenungkannya, pasti akan memberi kekuatan dan tenaga rohani bagi kita.

Seringkali pula kita tidak berminat membaca Kitab Suci sendiri dan mengharapkan orang lain membacakan serta menerangkannya kepada kita. Ya ini memanglah sesuatu yang baik, tetapi itu sama saja dengan kita makan tetapi tidak mau mengunyah sendiri namun dikunyahkan orang lain atau dimasukkan ke dalam mesin pengisar. Tentu rasanya menjadi kurang enak dan kita tidak akan menikmati lazatnya makanan tersebut. Sabda Tuhan pun akan lebih terasa dan bermakna andai kita sendiri yang membacanya dan memahaminya sendiri mengikut fahaman sendiri tanpa bantuan orang lain. 

Sekali lagi, marilah kita semakin mencintai Kitab Suci. Kita tekun dan setia membaca dan membacakan Kitab Suci seperti yang dilakukan Imam Ezra; kemudian menyelidikinya seperti yang dilakukan oleh Santo Lukas dengan merenungkannya; setelah itu mewartakannya; dan yang tidak boleh dilupakan, kita harus memenuhi segala tuntutan seperti yang dilakukan oleh Yesus. Meskipun Sabda Tuhan sudah dipenuhi oleh Yesus, namun kita juga diutus untuk memenuhinya. Dalam diri kita, Sabda Tuhan juga akan penuh apabila kita tekun dan setia membaca, merenungkan, mewartakan dan melaksanakannya. Amen.











-Duc in Altum-