CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, February 4, 2013

PERAYAAN HARI RABU ABU (ASH WEDNESDAY)


Ingat, engkau berasal dari debu dan akan kembali menjadi debu.”
Penggunaan abu dalam liturgi berasal dari zaman Perjanjian Lama. Abu melambangkan perkabungan, ketidakabadian, dan kekesalan serta pertaubatan. Sebagai contoh, dalam Kitab Ester di dalam Perjanjian Lama, Mordekhai mengenakan kain guni dan abu ketika dia mendengar perintah Raja Ahasyweros (485-464 SM) dari Persia untuk membunuh semua orang Yahudi dalam kerajaan Persia, "Apabila Mordekhai mendengar segala yang sudah berlaku, dia mengoyakkan pakaiannya sebagai tanda bersedih. Dia memakai kain guni, dan membubuhi kepalanya dengan abu, lalu berjalan-jalan di kota sambil mengangis dengan nyaring dan pilu." [Ester 4:1]. Di dalam Kitab Ayub ada menyatakan juga dimana Ayub (yang kisahnya ditulis antara abad ketujuh dan abad kelima SM) menyatakan kekesalan hatinya dengan duduk dalam debu dan abu, "Oleh itu, aku malu kerana segala perkataanku, dan dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu." [Ayub 42:6]. Dalam nubuatnya tentang penawanan Yerusalem ke Babel, Daniel (sekitar 550 SM) menulis, "Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan Allah, memohon belas kasihan-Nya, sambil berpuasa dan memakai kain guni, serta duduk di atas abu." [Daniel 9:3]. Dalam abad kelima SM, sesudah Yunus menyeru agar orang berbalik kepada Tuhan dan bertaubat, Kota Niniwe memaklumkan puasa dan mengenakan kain guni, dan raja menyelubungi dirinya dengan kain guni lalu duduk di atas abu , "Penduduk Niniwe percaya kepada perkhabaran Allah itu. Segenap rakyat mengambil keputusan untuk berpuasa, dan semua orang, baik yang kaya mahupun yang miskin, memakai kain guni untuk menunjukkan bahawa mereka menyesali dosa mereka. Ketika raja Niniwe mendengar beita itu, raja segera turun dari takhtanya. Raja menanggalkan jubahnya dan memakai kain guni, lalu duduk di atas abu." [Yunus 3:5-6]. Contoh-contoh dari Perjanjian Lama di atas merupakan bukti atas amalan penggunaan abu dan pengertian umum akan makna yang dilambangkannya.
Yesus sendiri juga mengaitkan penggunaan abu: kepada kota-kota yang menolak untuk bertaubat dari dosa-dosa mereka meskipun mereka telah menyaksikan mukjizat-mukjizat dan mendengar khabar gembira, Yesus berkata, "Alangkah malangnya kamu, hai korazin! Alangkah malangnya kamu, hai Betsaida! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu ku lakukan di Tirus dan Sidon, penduduk di sana pasti sudah lama bertaubat daripada dosa mereka, lalu mengenakan kain guni dan menaruh abu di kepala." [Matius 11:21].
Gereja Perdana mewariskan penggunaan abu untuk alasan simbolik yang sama. Dalam bukunya “De Poenitentia”, Tertulianus (sekitar 160-220) menulis bahawa pendosa yang bertaubat haruslah “hidup tanpa bersenang-senang dengan mengenakan kain guni dan abu.” Eusebius (260-340), sejarahwan Gereja perdana yang terkenal, menceritakan dalam bukunya “Sejarah Gereja” bagaimana seorang murtad bernama Natalis datang kepada Paus Zephyrinus dengan mengenakan kain guni dan abu untuk memohon pengampunan. Juga, dalam masa yang sama, bagi mereka yang diwajibkan untuk menyatakan taubat di hadapan umum, imam akan mengenakan abu ke kepala mereka setelah pengakuan.
Dalam abad pertengahan (setidak-tidaknya abad kelapan), mereka yang menghadapi ajal dibaringkan di tanah di atas kain guni dan dipercikan dengan abu. Imam akan memberkati orang yang menjelang ajal tersebut dengan air suci, sambil mengatakan “Ingat engkau berasal dari debu dan akan kembali menjadi debu.” Setelah memercikkan air suci, imam bertanya, “Puaskah engkau dengan kain guni dan abu sebagai pernyataan taubatmu di hadapan Tuhan pada hari penghakiman?” Yang mana akan dijawab orang tersebut dengan, “Saya puas.” Dalam contoh-contoh di atas, tampak jelas makna abu sebagai lambang perkabungan, ketidakabadian dan taubat.
Akhirnya, abu dipergunakan untuk menandakan permulaan Masa Prapaska, iaitu masa persiapan selama 40 hari (tidak termasuk hari Minggu) menyambut Paska. Ritual perayaan “Rabu Abu” boleh dijumpa dalam edisi awal Gregorian Sacramentary yang diterbitkan sekitar abad kelapan. Sekitar tahun 1000, seorang imam Anglo-Saxon bernama Aelfric menyampaikan khutbahnya, “Kita membaca dalam kitab-kitab, baik dalam Perjanjian Lama maupun Perjanjian Baru, bahawa mereka yang menyesali dosa-dosanya menabur diri mereka dengan abu serta membalut tubuh mereka dengan kain guni. Sekarang, marilah kita melakukannya sedikit pada awal masa Prapaska kita, kita menaburkan abu di kepala kita sebagai tanda bahawa kita wajib menyesali dosa-dosa kita terutama selama masa Prapaska.” Setidak-tidaknya sejak abad pertengahan, Gereja telah menggunakan abu untuk menanda permulaan masa taubat Prapaska, kita ingat akan ketidakabadian kita dan menyesali dosa-dosa kita.
Dalam liturgi kita sekarang, dalam perayaan Rabu Abu, kita mempergunakan abu yang berasal dari daun-daun palma yang telah diberkati pada perayaan Minggu Palma tahun sebelumnya yang telah dibakar. Paderi akan memberkati abu dan mengenakannya pada dahi umat beriman dengan membuat tanda salib dan berkata, Ingat, engkau berasal dari debu dan akan kembali menjadi debu,” atau “Bertaubatlah dan percayalah kepada Injil.” Sementara kita memasuki masa Prapaska yang kudus ini guna menyambut Paska, sepatutnya kita ingat akan makna abu yang telah kita terima: kita menyesali dosa dan melakukan penebusan bagi dosa-dosa kita. Kita mengarahkan hati kepada Kristus, yang sengsara, wafat dan bangkit demi keselamatan kita. Kita memperbaharui janji-janji yang kita ucapkan dalam pembaptisan, iaitu ketika kita mati atas hidup kita yang lama dan bangkit kembali dalam hidup yang baru bersama Kristus. Dan yang terakhir, kita menyedari bahawa kerajaan dunia ini segera berlalu, kita berjuang untuk hidup dalam kerajaan Allah sekarang ini serta merindukan rahmat-Nya di syurga kelak. Kita mati bagi diri kita sendiri, dan bangkit kembali dalam hidup yang baru dalam Kristus.
Sementara kita memahami makna abu ini dan berjuang untuk menghayatinya terutama sepanjang masa Prapaska, sepatutnya kita mempersilakan Roh Kudus untuk menggerakkan kita dalam karya dan mengamalkan belas kasihan terhadap sesama. Bapa Suci dalam pesan masa Prapaskah pernah mengatakan, “Merupakan harapan saya yang mendalam bahawa umat beriman akan mendapati masa Prapaska ini sebagai masa yang menyenangkan untuk menjadi saksi belas kasih Injil di segala tempat, kerana panggilan untuk berbelas kasihan merupakan intipati dari segala pewartaan Injil yang sejati.” Beliau juga menyesali bahawa “pada abad ini godaan terhadap kepentingan diri sentiasa menyelubungi hati manusia… keinginan hati yang berlebihan untuk memiliki akan menghambat manusia dalam membuka diri terhadap Pencipta mereka dan terhadap saudara-saudari mereka.”
Dalam Masa Prapaska ini, tindakan belas kasihan yang tulus, yang dinyatakan kepada mereka yang berkekurangan, haruslah menjadi bahgian dari diri kita, taubat kita, dan pembaharuan hidup kita, kerana tindakan-tindakan belas kasihan sebeginilah yang mencerminkan kesetiakawanan dan keadilan yang teramat penting bagi datangnya Kerajaan Allah di dunia ini.
sumber : “Straight Answers: The Ashen Cross” by Fr. William P. Saunders; Arlington Catholic Herald, Inc; Copyright ©2003 Arlington Catholic Herald. All rights reserved;http://www.catholicherald.com
-Duc in Altum-


1 comment: