+ Atas Nama Bapa, Putera dan Roh Kudus. Amen
Pada catatan sebelum ini, saya telah menceritakan bagaimana Alkitab
Perjanjian Lama menunjukkan kemajmukan peribadi Allah dan juga telah
ditunjukkan ayat-ayat yang membuktikan penciptaan oleh ketiga-tiga peribadi
Allah.
Seterusnya saya akan melanjutkan perbincangan kita dengan gambaran
berikutnya.
KEMUNCULAN “MALAIKAT ALLAH” DI DALAM
PERJANJIAN LAMA
Dalam Kitab Perjanjian Lama, banyak tercatat kemunculan
malaikat-malaikat. Namun ada satu malaikat yang sangat khusus, maka penerjemah
Alkitab selalu memakai huruf besar untuk menyebutnya: "Malaikat
Allah" atau "Malaikat TUHAN".
a. Malaikat TUHAN menyatakan diri
kepada Hagar saat ia melarikan diri dari Sarai
“Malaikat TUHAN
menjumpai Hagar dekat mata air di padang gurun, di jalan yang menuju ke padang
gurun Syur. Malaikat itu berkata, ‘Hagar, hamba Sarai, engkau dari mana dan
hendak ke mana?’ Hagar menjawab, ‘Hamba melarikan diri daripada tuan hamba,
Sarai.’ Malaikat itu berkata, ‘Kembalilah kepadanya dan layanilah dia.’
Kemudian malaikat itu berkata, ‘Aku akan memberikan keturunan yang sangat
banyak kepadamu, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka. Tidak lama
engkau akan melahirkan seorang anak lelaki, namakan dia Ismael, kerana TUHAN
sudah mendengar tangisanmu.” [Kejadian 16:7-11]
Yang menarik adalah Hagar tidak mengatakan dia melihat seorang malaikat
biasa, tetapi sebalinya bertemu dengan Tuhan sendiri. “Hagar bertanya dalam hati, ‘Benarkah aku
nampak Allah dan aku masih hidup?’ Oleh itu dia menyebut TUHAN yang sudah
berfirman kepadanya itu ‘Allah Yang Melihat’.” [Kejadian 16:13]
b. Malaikat Allah menyatakan diri kepada Hagar dan menyelamatkan
Ismael yang hampir mati kehausan
“Allah mendengar
suara Ismael dan dari langit malaikat Allah berkata kepada Hagar, ‘Apakah yang
engkau susahkan, Hagar? Janganlah takut. Allah sudah mendengar tangisan anakmu.’”
[Kejadian 21:17]. Perhatikan ayat
ini; “dan
dari langit malaikat Allah berkata” .
c. Malaikat Allah menyatakan diri kepada Abraham dan menghalangnya
daripada menyembelih Ishak
“tetapi dari langit
malaikat TUHAN berseru kepadanya, ‘Abraham, Abraham!’ Abraham menjawab, ‘Ya,
Tuhan’. ‘Janganlah sakiti anak itu, jangan lakukan apa-apa terhadapnya’, kata
malaikat itu. ‘Sekarang Aku tahu bahawa engkau menghormati dan mentaati Aku,
kerana engkau tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku.’’
[Kejadian 22:11-12]. Di sini Abraham tidak menyatakan yang dia bertemu dengan malaikat biasa,
tetapi melalui jawapan ‘YA TUHAN’ sudah cukup untuk menerangkan dia bertemu
dengan Tuhan sendiri.
Sekali lagi Abraham membuktikan yang dia berjumpa dengan Tuhan melalui
ayat berikut, “Abraham, menamakan tempat
itu ‘TUHAN Menyediakan Apa Yang Diperlukan’. Sampai sekarang pun orang berkata,
‘Di atas gunung-Nya TUHAN menyediakan apa yang diperlukan.’” [Kejadian 22:14]
Sekali lagi saya ingin anda semua perhatikan
disini,
Malaikat Tuhan berseru dan menyelamatkan Ishak,
sama seperti Dia berseru dan menyelamatkan Ismael. Ini mengingatkan kita,
tentang Allah Juruselamat. Di Perjanjian Baru, barulah ia menjadi satu kenyataan,
bahawa Dialah Yesus Kristus, Allah yang menjadi manusia untuk menyelamatkan
manusia.
d. Malaikat Allah menyatakan diri kepada Yakub
“Malaikat Allah
berkata kepadaku dalam mimpi itu, ‘Yakub!’ Aku pun menjawab ‘Ya’”. [Kejadian
31:11]
Disini sekali lagi kita tahu malaikat yang dilihat oleh Yakub bukanlah
malaikat biasa, namun adalah diri Tuhan sendiri. Bukti bahawa malaikat itu
adalah Tuhan melalui ayat ini,“Akulah
Allah yang telah menampakkan diri kepada mu di Betel. Di sana engkau telah
mentasbihkan sebuah batu peringatan, dengan menuang minyak zaitun di
atasnya. Di sana pula engkau bersumpah kepada-Ku. Sekarang bersiaplah dan
kembalilah ke negeri kelahiranmu.’” [Kejadian 31:13]
e. Malaikat TUHAN menyatakan diri kepada Musa
“Di sana malaikat
TUHAN menampakkan diri kepada Musa dalam api yang menyala di tengah semak. Musa
nampak semak itu menyala, tetapi tidak terbakar. ‘Aneh!’ fikirnya. ‘Mengapa
semak itu tidak terbakar? Baiklah aku melihat dari dekat.’ Apabila TUHAN nampak
Musa menghampiri-Nya, TUHAN memanggil dia dari tengah semak itu, ‘Musa, Musa!’
Musa menjawab ‘Ya, aku di sini.’ Allah berfirman, ‘Jangan datang dekat-dekat.
Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci. Akulah
Allah yang disembah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Oleh itu
Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Allah.” [Keluaran 3:2-6]
Amat jelas bahawa Malaikat Tuhan yang menampakkan diri kepada Musa
adalah Allah sendiri. Dia juga Malaikat Allah yang sama yang telah menyatakan
diri kepada Abraham, Ishak dan Yakub.
f. Malaikat Allah menyatakan diri
kepada Bileam
“Kemudian TUHAN
membolehkan Bileam melihat malaikat TUHAN yang berdiri di situ dengan pedang
terhunus, lalu Bileam sujud menyembah.” [Bilangan 22:31]
Perhatikan disini malaikat biasa tidak akan pernah menerima sembah
sujud. Tetapi Malaikat TUHAN adalah Tuhan sendiri, maka Dia menerima sembah
sujud daripada manusia.
“Aku, Yohanes sudah
mendengar dan melihat segala perkara ini. Setelah aku mendengar dan melihatnya,
aku bersujud di hadapan malaikat yang menunjukkan segala perkara itu kepadaku.
Aku hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, ‘Janganlah sembah aku,
kerana aku pun hamba seperti engkau dan seperti saudara-saudaramu para nabi
itu, dan seperti semua orang yang mentaati kata-kata di dalam kitab ini.
Sembahlah Allah!’” [Wahyu 22:8-9]
“Apabila Petrus
tiba, Kornelius menyambut dia dan sujud dihadapannya. Tetapi Petrus menyuruh
dia bangun,’Bangunlah’, katanya, ‘Saya sendiri pun manusia.’” [Kisah 10:25-26]
SIAPAKAH MALAIKAT ALLAH INI?
Berdasarkan ayat-ayat yang dipetik dari Alkitab yang saya nyatakan diatas,
amat jelas Malaikat Allah adalah ALLAH itu sendiri. Namun dari ketiga-tiga Peribadi
Allah yang manakah yang dimaksudkan dengan Malaikat Allah ini? Melalui Alkitab
kita boleh menangkap bahawa peribadi yang ked adalah Anak Allah, Yesus Kristus
sendiri. Itu sebabnya Yesus berkata Abraham telah melihat Diri-Nya.
“Bapa kamu Abraham
bersukacita kerana akan melihat masa kedatangan-Ku. Dia sudah melihatnya dan
dia bergermbira.” [Yohanes 8:56]
Orang Yahudi tidak memahami Anak Allah yang kekal, maka mereka fikir
tidak mungkin Yesus yang umurnya belum sampai 50 boleh bertemu dengan Abraham, “Mereka berkata kepada Yesus, ‘Umurmu belum
lagi lima puluh tahun dan kamu sudah melihat Abraham?” [Yohanes 8:57]
Oleh itu enyataan Malaikat Allah di dalam Perjanjian Lama secara
samar-samar telah menunjuk kepada peribadi Allah yang kedua iaitu Anak Allah.
Bersambung pada
bahagian seterusnya. MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 7
-Duc in Altum-
No comments:
Post a Comment