+ Atas Nama Bapa, Putera dan Roh Kudus. Amen
Di catatan sebelumnya saya telah memaparkan ada "tanda yang
samar-samar" di dalam Kitab Perjanjian Lama tentang Allah Yang Esa namun
memiliki tiga peribadi, baik dari segi pemakaian kata pengganti majmuk
"kita" mahupun kemunculan "Malaikat Allah".
Dalam bahagian ini, saya akan menerangkan pula pengajaran Allah
Tritunggal di dalam Kitab Perjanjian Baru.
Sebelum kita memasuki topik perbincangan ini dengan lebih mendalam, ada
baiknya kita kembali memperhatikan 2 perkara berikut ini:
1. Pemakaian istilah bukti (proof) dan penyataan (revelation)
- Istilah "bukti" dipakai dalam 3 erti: bukti ilmiah (scientific proof), bukti sejarah (historical proof), dan bukti logik (logical proof).
- Bukti ilmiah adalah satu fakta yang boleh diulang (diverifikasi) secara ilmiah (di makmal misalnya). Contoh air membeku pada suhu dan tekanan tertentu. Fakta ini boleh diulang di makmal. Kita sebut ini bukti ilmiah.
- Bukti logik adalah fakta yang terbukti secara analisa logik. Misalnya di dalam bilik 1 dan bilik 2 terdapat gas beracun telah dipasangkan oleh pengganas, Henry telah dikurung oleh pengganas di dalam bilik 2; maka kesimpulannya Henry pasti meninggal dunia kerana menghidu gas beracun itu. Dengan demikian kesimpulan Henry pasti mati terbukti, jika ia adalah benar. Kita sebut ini bukti logik.
- Bukti sejarah adalah fakta yang dikukuhkan oleh kesaksian yang diuji (realiable witnes). Misalnya, Tunku Abdul Rahman adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Fakta ini tidak boleh diulang di makmal. Kita hanya boleh "membuktikan" bahawa benar ada yang insan bernama Tunku Abdul Rahman dan dia adalah Perdana Menteri pertama melalui saksi-saksi ketika pemerintahan beliau ataupun melalui catatan bertulis, gambar, rakaman filem mahupun audio. Fakta itu akan terbukti atau tidak, bergantung kepada adakah saksi dan bukti ini diuji kesahihannya. Mungkin ada saksi yang palsu atau bahan bukti yang palsu, maka hanya kesaksian yang teruji sahaja yang boleh dipegang.
Pengertian berbagai bukti penting bagi kita dalam membicarakan
kemanusiaan dan keilahian Kristus Yesus.
Pertama, bahwa fakta Yesus Kristus pernah hidup di dunia tidak mampu di
buktikan secara ilmiah, sama seperti kita
tidak mampu membukti Tunku Abdul Rahman pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia
di makmal. Fakta ini hanya boleh dibuktikan secara sejarah, iaitu melalui
kesaksian-kesaksian orang-orang yang pernah melihat Yesus secara langsung
(yakni murid-murid Yesus, yang telah menuliskan kesaksian mereka dalam Alkitab)
atau pun catatan sejarah pada zaman tersebut (catatan sejarah Kerajaan Romawi
misalnya).
Kedua, bahawa fakta Yesus adalah Tuhan, tidak dapat dibuktikan baik secara
ilmiah, maupun secara sejarah, namun hanya boleh diterima melalui iman. Maka disini perlu
ditekankan bahawa Tuhan tidak boleh dibuktikan, tetapi Tuhan yang menyatakan
diri-Nya ada dan siapa Dia.
Jadi disini, ada dua hal yang saling berkait, pertama bahawa murid-murid
Yesus bersaksi, dan menuliskan kesaksian mereka dalam Alkitab, ini adalah bukti
kuat secara sejarah, kerana mereka adalah saksi-saksi yang teruji dan kesaksian
mereka memiliki keupayaan (reability).
Namun, bahawa adakah seseorang dapat menerima kesaksian mereka tidak
semata-mata kerana fakta tersebut benar, tetapi harus ada pekerjaan Roh Kudus
yang membukakan mata hati mereka. Maka percaya Yesus adalah berdasarkan iman,
bukan kerana bukti. Bukan kerana percaya secara membuta. Tetapi iman harus
mendahului bukti. Tanpa iman, bukti apapun tidak akan meyakinkan. Kalau mata buta,
cahaya sekuat apapun tidak ada gunanya. Kalau telinga pekak, bunyi sekuat
apapun tidak ada gunanya. Hanya saat iman muncul, maka manusia mampu melihat
bukti-bukti itu dan makin yakinlah iman mereka.
Maka bukti bukan untuk membuat orang
tidak percaya menjadi percaya, tetapi bukti adalah untuk membuat orang percaya semakin
percaya.
2. Keilahian Yesus Kristus dan Roh
Kudus adalah keutamaan di dalam pemahaman Tritunggal
Doktrin Tritunggal boleh diungkapkan dengan pernyataan berikut:
1. Hanya ada satu Allah Yang Esa.
2. Bapa adalah Allah.
3. Anak adalah Allah.
4. Roh Kudus adalah Allah.
5. Bapa bukan Anak; Anak bukan Roh Kudus; dan Roh Kudus bukan
Bapa.
6. Bukan tiga Allah, tetapi satu Allah.
Dari keenam-keenam pernyataan diatas:
1. Pernyataan 1 & 2 diterima oleh semua penganut monoteisme.
2. Pernyataan 3 & 4 hanya diterima oleh iman Kristian. Maka
keilahian Kristus dan Roh Kudus adalah kunci dalam memahami doktrin Kristian.
Jika boleh ditunjukkan dengan jelas dari Alkitab bahawa Yesus Kristus
dan Roh Kudus adalah Allah. Maka pernyataan yang seterusnya (5&6) adalah
masalah pengertian semata-mata.
Adakah seseorang mampu memahami atau tidak, konsep satu Allah dalam 3 peribadi,
ini bukan lagi masalah iman, tetapi masalah pemahaman. Ertinya orang boleh sahaja
tidak mampu memahami Allah yg Esa dalam 3 peribadi yg berbeza, namun dengan
iman mereka menerima Bapa, Anak, dan Roh Kudus sebagai Allah yang seutuhnya,
maka mereka adalah orang Kristian.
Tetapi jika seseorang menolak Yesus Kristus dan Roh Kudus sebagai Allah.
Maka ini bukan lagi masalah pengertian, tetapi masalah iman. Maka dalam hal ini,
penolakan daripada mereka akan menjadikan mereka mudah untuk berpaling daripada
Kristian dan memilih agama lain atau pun
mudah terlibat dengan ajaran sesat.
Jika mereka menolak Yesus Kristus dan Roh Kudus sebagai Allah, walaupun
mereka percaya Allah itu Esa adanya, namun mereka tidak menyebut diri
"Kristian", maka mereka disebut berbeza agama, misalnya agama Islam
dan agama Yahudi.
Jika mereka menolak Yesus Kristus dan Roh Kudus sebagai Allah, walaupun
mereka percaya Allah itu Esa adanya, dan menerima Allah Bapa sebagai Allah, dan
mereka tetap menyebut diri "Kristian," maka mereka disebut
ajaran sesat. Dalam hal ini misalnya Arianisme, Tropiki, Unitarianisme, Saksi
Yehova, Mormon, dan lain-lain lagi.
Doktrin Tritunggal bertolak dari
penerimaan Yesus Kristus dan Roh Kudus sebagai Allah seutuhnya. Dalam hal ini Allah
Bapa bukan tidak penting, tetapi kerana keilahian Allah Bapa tidak pernah
dipersoalkan. Oleh sebab itu doktrin Tritunggal harus dimulai dengan
menunjukkan dari Alkitab bahawa Yesus Kristus dan Roh Kudus adalah Allah
seutuhnya.
Bersambung di bahagian seterusnya. MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 8
-Duc in Altum-
No comments:
Post a Comment