+ Atas Nama Bapa, Putera dan Roh Kudus. Amen
Dalam bahagian pertama tulisan ini, saya telah memaparkan Allah adalah Allah Yang Tidak Difahami, sehingga manusia hanya mungkin memahami Allah jika dan hanya jika Allah membuka diri-Nya untuk dikenali dan Allah telah membuka diri-Nya untuk dikenal oleh ciptaan-Nya melalui wahyu-Nya. Dalam bahagian kedua tulisan ini, saya akan memaparkan lebih lanjut bagaimana sifat wahyu Allah sehingga manusia dimampukan untuk mengenal-Nya.
C. ALLAH MENYATAKAN DIRI-NYA DALAM CARA YANG MAMPU DIFAHAMI OLEH MANUSIA
Kerana Allah adalah Allah Yang Tidak Terpahami, maka tidak mungkin manusia memahami Allah dalam intipati-Nya. Dengan kata lain manusia tidak mungkin memahami Allah dalam keadaan yang sebenar-benarnya. Dengan demikian agar dapat difahami oleh manusia, Allah mesti menyatakan diri-Nya dalam cara yang mampu difahami oleh manusia. Calvin mengumpamakan Allah menggunakan “bahasa bayi” (baby-talk) untuk berkomunikasi dengan manusia. Maka Alkitab adalah catatan “bahasa bayi” Allah untuk manusia. Pengetahuan yang telah disesuaikan sedemikian rupa pada manusia yang terbatas, agar manusia mampu untuk memahami dan mengenali Allah.
Walaupun Allah telah berbicara dengan kita dengan “bahasa bayi”, manusia masih lagi tidak dapat memahami-Nya. Hingga Allah perlu menyatakan diri-Nya dengan Putera-Nya sendiri; Yesus Kristus untuk datang dalam seperti manusia dan Kristus Yesus adalah penyataan puncak Allah pada manusia. Saat seseorang mengenali Kristus, maka dia mengenali Allah. Saat seseorang melihat Anak-Nya, dia melihat Allah. "Kerana kamu mengenal Aku, kamu akan mengenal Bapa-Ku. Mulai sekarang kamu mengenal Dia dan kamu sudah melihat Dia." [Yohanes 14:7]
D. BAHASA UNTUK MENGGAMBARKAN ALLAH ADALAH MELALUI ANALOGI
Kerana tidak mungkin menggambarkan Allah dalam intipati-Nya, maka hanya Allah mungkin digambarkan atau diterangkan dengan bahasa analogi. Bahasa analogi, maksudnya begini.
Contoh: baik
1. Anjingku baik.
2. Sahabatku baik.
3. Ibubapaku baik.
4. Allah baik.
Keempat-empat ayat diatas menggunakan perkataan baik. Walaupun ada persamaan maksud baik, tetapi kita tahu baik yang dimaksudkan pada anjing adalah berbeza dengan baik pada sahabat. Baiknya seorang sahabat pula adalah berbeza dengan baiknya ibubapa kita. Allah baik. Baiknya Allah sememangnya jelas jauh berbeza dengan baiknya anjingku. Baiknya Allah walaupun mirip dengan baiknya ibubapa kita, jelas memiliki perbezaan pada kualiti dan intensiti. Maka baik disini diterangkan secara analogi: ada persamaan, tetapi ada juga perbezaan.
Contoh lain: Bapa dan Anak.
Sewaktu Alkitab mengatakan Allah Bapa dan Allah Anak. Bapa dan Anak disini bukan secara literal menerangkan secara fizikal, tetapi secara analogi. Ada kemiripan tetapi jelas juga perbezaannya. Pada manusia, ada bapa, ada anak, mesti harus ada ibu. Tetapi pada Allah tidak demikian. Kita mengenal Allah Bapa dan Allah Anak, tetapi tidak ada Allah ibu. Pada manusia, Bapa terlebih dulu ada, baru anak. Tetapi pada Allah, baik Allah Bapa maupun Allah Anak ada di dalam kekekalan. Dalam kekekalan, tidak ada siapa yang duhulu, siapa yang kemudian. Kenapa? Itulah dikatakan kekekalan. Dalam kekekalan tidak ada waktu. Mengapa tidak ada waktu? Ini kerana Allah. Jadi disini berbeza antara makhluk ciptaan dan Pencipta itu sendiri.
Makhluk ciptaan terikat pada ruang dan waktu. Bagi ciptaan, ada keterbatasan ruang dan waktu; kita tidak boleh berada disemua tempat pada waktu yang sama; bagi Allah tidak ada keterbatasan sedemikian. Bagi kita, ada kemarin, hari ini, dan hari esok. Bagi Allah tidak ada. Ini namanya kekal. Jadi antara Allah Bapa-Allah Anak, wujudnya di dalam kekekalan. Justeru itu, apakah yang ingin ditekankan dalam analogi Bapa dan Anak? Jawapannya amat mudah, iaitu kesamaan dalam intipati.
Perhatikan berikut ini:
1. Bapa kucing, anaknya kucing.
2. Bapa anjing, anaknya anjing.
3. Bapa manusia, anaknya manusia.
Ada persamaan intipati antara bapa dan anak. Maka dalam Allah Bapa dan Allah Anak, juga ada persamaan intipati iaitu INTIPATI ALLAH. Jika Allah Bapa adalah Allah. Maka Allah Anak, juga adalah Allah.
E. BAHASA ANTHROPOMORPHIC
Bahasa anthropomorphic adalah bahasa analogi dimana Allah digambarkan seperti manusia. Alkitab misalnya mengatakan mata Allah, telinga Allah, mulut Allah, tangan Allah; atau Allah bekerja, beristirahat, dan sebagainya. Sekali lagi bahasa-bahasa seperti ini tidak boleh ditafsirkan secara literal, namun perlu melihat kata kunci yang hendak ditekankan dan perlu melakukan pembezaan dengan manusia.
Misalnya: Allah beristirahat dan manusia beristirahat jelas berbeza. Manusia beristirahat kerana letih, penat dan tidak bertenaga, namun tidak bagi Allah kerana sudah pasti Allah tidak pernah letih dan lesu.
Allah mendengar dan manusia mendengar walaupun ada kesamaan, jelas perbezaannya. Manusia mendengar terbatas dan tidak mungkin mendengar dari banyak sumber sekaligus. Tetapi pada Allah tidak ada masalah, Allah tidak terbatas, pengetahuan-Nya tidak terbatas, maka tidak perlu bertanya bagaimana Allah mendengar doa-doa yang dipanjatkan berjuta-juta orang Katolik dalam waktu yang sama.
Bersambung pada catatan berikutnya. MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 3
-Duc in Altum-
No comments:
Post a Comment