CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, February 5, 2013

MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 4


+ Atas Nama Bapa, Putera dan Roh Kudus

Setelah menulis 3 catatan tentang Doktrin Tritunggal, saya terfikir adakah penulisan saya tersebut sudah cukup untuk menjelaskan doktrin yang amat rumit ini untuk difahami oleh orang Kristian biasa (dalam hal ini dibezakan dengan mereka yang sememangnya mengkhusus di dalam bidang theology). Namun, tanggapan demi tanggapan tetap muncul dan kebingungan tetap wujud di benak pemikiran ramai orang yang mempercayai doktrin ini. Ini disebabkan mereka sentiasa berhadapan dengan pengajaran-pengajaran dari non-Trinitarian atau pun perbandingan dengan pengajaran agama lain.

Oleh kerana sifat blog saya ini mementing penekanan kasih sayang dalam diri umat Katolik maka itu saya tidak pernah menyentuh perbandingan agama Kristian kita dengan agama lain. Namun untuk doktrin Tritunggal adalah amat susah bagi saya untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam tanpa adanya perbandingan. Oleh sebab itu, dalam bahagian ini saya putuskan untuk melakukan perbandingan dengan harapan untuk memberikan kontra Tuhan seperti yang diajarkan oleh Alkitab dan dipercayai oleh gereja sepanjang zaman; dan bagaimana Tuhan dalam Alkitab berbeza dengan Tuhan lain.

Dalam hal “TUHAN”  agama-agama lain, ini berdasarkan pemahaman saya sejauh ini dan tentunya terbuka untuk diperbetulkan, dan mengenai pemahaman saya tentang Allah penganut Kristian, saya akan berusaha memaparkan apa yang saya fahami dari Alkitab dan dari pengajaran gereja sepanjang zaman. 

BERAPA UNIKNYA ALLAH UMAT KRISTIAN? ADAKAH ALKITAB MENGAJARKAN MONOTEISME ATAU POLITEISME?

Politeisme bermaksud kepercayaan dalam atau pemujaan banyak tuhan seperti dewa dan dewi.
Monoteisme bermaksud  kepercayaan kewujudan hanya satu dewa, atau keesaan Tuhan.

Pada umumnya penganut agama Kristian akan menjawab Alkitab menolak politeisme dan mengajarkan moneteisme. Alkitab konsisten mengajar Allah hanya satu sahaja. 

“Ingatlah, hai Israel! TUHAN – dan TUHAN satu-satunya – ialah Allah kita.” [Ulangan 6:4]

Bukankah Allah yang Esa menjadikan mereka daging dan roh? Dan apakah yang dikehendaki kesatuan itu? Keturunan Ilahi!
“Bukankah Allah yang menjadikan kamu satu tubuh dan satu jiwa dengan wanita itu? Apakah maksud Allah dengan hal itu? Maksud-Nya adalah supaya kamu mendapat anak yang benar-benar umat Allah. Oleh itu, pastikanlan supaya tiada orang di kalangan kamu yang memungkiri janji kepada isterinya.”  [Maleakhi 2:15]

“ Yesus menjawab, ‘Inilah perintah yang paling utama, Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa.’” [Markus 12:29]

“Bagaimanakah kamu boleh percaya kepada-Ku jika kamu mencari pujian daripada sesama kamu sendiri? Kamu tidak berusaha untuk mencari pujian daripada Allah Yang Esa?” [Yohanes 5:44]

“Sekarang tentang persoalah makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa berhala menggambarkan sesuatu yang tidak wujud. Kita juga tahu bahawa Allah hanya satu; tidak ada yang lain.” [1 Korintus 8:4] 

“Hendaklah Allah, Raja yang kekal, yang hidup selama-lamanya, yang tidak kelihatan, dan yang esa, dihormati serta dimuliakan selama-lamanya! Amin.” [1 Timotius 1:17]

“kerana hanya ada satu Allah dan hanya ada satu yang dapat memimpin manusia kepada Allah, iaitu Kristus Yesus yang datang ke bumi sebagai manusia.” [1 Timotius 2:5] 

Dialah satu-satunya Allah, Penyelamat kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita. Dialah Allah yang mulia, agung, berkuasa, dan berwibawa sejak dahulu kala sehingga sekarang dan selama-lamanya! Amin.” [Yudas 1:25]

Oleh itu andai dilihat disini, baik di dalam Kitab Perjanjian Lama mahupun Perjanjian Baru, mengajar kita bahawa Allah adalah Yang Esa, Allah adalah satu. Maka kerana bukti ini lah yang membuatkan penganut agama Kristian percaya dengan yakin Alkitab mengajarkan monoteisme.

Persoalan muncul bila ada yang bertanyakan monoteisme yang sebagaimana diajar di dalam agama Kristian. Ini adalah kerana agama Islam dan agama Yahudi juga menekankan ajaran monoteisme. Adakah Allah yang dipercayai oleh orang Islam dan orang Yahudi sama dengan Allah yang dipercayai oleh orang Kristian? Bukankah ketiga-tiga agama ini menekankan konsep monoteisme?

Pada ketika ini lah ramai mulai bingung untuk menjawabnya. Jika dijawab TIDAK, mengapa ketiga-tiga agama ini menekankan konsep monoteisme dan jika dijawab YA, mengapa agama Yahudi, Kristian dan Islam menjadi tiga agama yang berbeza? Logiknya ada di dalam persoalan ini, kerana jika Allah adalah sama mengapa harus agama berbeza.  

Pada saat inilah, para agamawan Kristian menjawab TIDAK. Memang benar ketiga-tiga agama ini menekankan satu konsep yang sama iaitu monoteisme. Namun monoteisme yang dipercayai oleh iman penganut Kristian adalah berbeza dengan konsep monoteisme yang ditekankan di dalam ajaran agama Yahudi dan juga agama Kristian.

Disini saya ingin perjelaskan mengapa konsep yang ditekankan di dalam agama Kristian tidak sama dengan kedua-dua agama tersebut. Ini adalah kerana agama Yahudi dan Islam mempercayai bahawa Allah hanya satu dan Allah yang satu ini hanya dalam satu peribadi sahaja. Namun berbeza dengan ajaran agama Kristian, di mana kita mempercayai bahawa Allah hanya satu tetapi yang mengindahkan Allah yang satu ini adalah 3 peribadi-Nya yang berbeza-beza antara satu sama lain namun intipatinya tetap sama iaitu ALLAH:  Allah Bapa, Allah Putera dan Allah Roh Kudus.  

Inilah menjadi punca mengapa sehingga ke hari ini, penganut agama Yahudi dan juga Islam mempercayai bahawa agama Kristian sebagai agama yang menekankan konsep politeisme. Tanggapan ini ditolak dan disangkal oleh penganut agama Kristian kerana telah jelas melalui ajaran Alkitab, penganut Kristian mempercayai hanya wujud 1 Allah bukannya 3 Allah, dan Allah ini wujud dalam 3 peribadi.

Oleh disebabkan orang Islam dan orang Yahudi mempercayai Allah yang Esa hanya memiliki 1 peribadi sahaja maka dengan itulah orang Islam memandang Yesus sebagai nabi seperti nabi-nabi sebelumnya. Manakala orang Yahudi pula tidak pernah mengaku Yesus sebagai Allah dan juga tidak mengakui-Nya sebagai nabi. Dengan kata lain kedua-dua agama ini hanya menganggap Yesus adalah manusia biasa seperti kita.

Berbeza dengan kita umat Kristian, bagi kita Bapa, Putera dan Roh Kudus adalah Allah. Namun ini tidak menjadikan-Nya tiga Allah tetapi 1 Allah di dalam 3 peribadi. Hal ini ada ditekankan dan diajarkan kepada kita di dalam Alkitab, baik di dalam Perjanjian Laman mahupun di Perjanjian Baru. Di dalam Kitab Perjanjian Lama penerangan berkaitan ini adalah samar, namun ia diperjelaskan dengan amat terang di dalam Perjanjian Baru.

Bersambung di bahagian seterusnya.  MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 5

-Duc in Altum-


No comments:

Post a Comment