CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, February 7, 2013

THE ROSARY AND THE CHAPLET OF DIVINE MERCY

THE PASSION OF CHRIST (MOVIE)

POPE JOHN PAUL II (MOVIE)

Movie 1: KAROL THE MAN WHO BECOME POPE




Movie 2: KAROL THE POPE THE MAN


THE MIRACLE OF OUR LADY OF FATIMA (MOVIE)

MIRACLE OF MARCELINO (MOVIE)

CLARE AND FRANCIS (STORY OF ST. FRANCIS ASSISI AND ST. CLARE ASSISI)

BROTHER SON SISTER MOON (STORY OF ST. FRANCIS ASSISI)

13TH DAY (STORY OF LADY OF FATIMA)

SAINT BERNADETTE SOUBIROUS MOVIE

Wednesday, February 6, 2013

MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 9


+ Atas Nama Bapa, Putera dan Roh Kudus. Amen

Kehadiran Roh Kudus adalah perkara dan didikan yang penting dalam iman Kristian (Christianity) dan telah ditekankan di  dalam Kitab Perjanjian Lama mahupun di dalam Kitab Perjanjian Baru   Kedua-duanya menjelaskan interaksi Roh Kudus dengan manusia. Roh Kudus selaku peribadi Allah yang kekal tetap ada dan terus bekerja sebelum dan sesudah hari Pentakosta. Keberadaan Roh Kudus tetap dilihat sebagai peribadi yang tidak mungkin dipisahkan dengan Allah Bapa dalam Tritunggal.

Pengakuan Roh Kudus sebagai kesatuan dengan Allah selalu ditegaskan dengan kalimat yang biasa digunakan untuk membuka dan menutup  doa “Atas nama Bapa,  Putra, dan Roh Kudus”. Kalimat ini merupakan pengakuan bahawa doa yang dipanjatkan adalah di dalam Allah Tritunggal. Suatu kepastian yang tidak boleh digugat dengan konsep pemikiran apapun.

Dalam konteks liturgi gereja Katolik, dalam ibadah setiap minggu selalu menekankan pada doa Syahadat Iman/Aku Percaya yang diawali dengan “Aku percaya akan Roh Kudus“. Apakah pengakuan ini boleh dipersoalkan dan digugat ? TIDAK.

Mungkin ada yang berpendapat kedua-dua ayat diatas adalah isi kepada doktrin gereja yangdireka sendiri serta yang boleh disangkal, disuruh untuk ucapkan, lalu diucapkan biar tidak dituduh kufur. Boleh sahaja ada pihak luar yang berpendapat demikian, tetapi kehadiran Roh Kudus sebagai kesatuan dengan Allah Tritunggal adalah MUTLAK dalam kehidupan iman pengikut Kristus.

Kita lihat pendapat iman kristian tentang Roh Kudus:
“Sebagaimana roh seseorang mengetahui isi hati orang itu, begitu juga hanya Roh Allah mengetahui segala sesuatu tentang Allah.” [1 Korintus 2:11], pernyataan ini mengatakan bahawa wujud kesatuan diantara Roh Allah dengan Allah Tritunggal.

“Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku. Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan memberi kamu Penolong lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya. Dia Roh Allah, yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Dunia tidak dapat menerima Dia, kerana dunia tidak dapat melihat Dia ataupun mengenal Dia. Tetapi kamu mengenal Dia, kerana Dia tinggal dengan kamu dan bersatu dengan kamu.” [Yohanes 14:15-17]

“Aku memberitahu kamu semua ini semasa Aku masih bersama-sama kamu. Tetapi Roh Allah, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu.” [Yohanes 14:25-26]

Di dalam Kitab Yohanes 14:15-17 merupakan penegasan dari Yesus Kristus sendiri tentang kehadiran Roh Kudus sebagai kesatuan dengan Allah Tritunggal dalam kehidupan pengikut Yesus Kristus.

Jika ada pembaca yang tergerak untuk mempersoalan perkataan “seorang” yang ditulis dalam ayat ini, seakan-akan merupakan wujudnya manusia, apalagi kalau dikatakan sebagai nabi yang terakhir, lupakan sahaja, baca ayat tersebut dalam kesatuan “seorang Penolong” yang merupakan gaya bahasa personifikasi, bukan bahasa ilmiah terhadap Roh Kudus yang merupakan kesatuan dengan Allah Tritunggal.

Jika berminat lebih jauh merasakan kehadiran Roh Kudus yang merupakan kesatuan dengan Allah Tritunggal, boleh melalui hal-hal berikut:


  • Air - melambangkan tindakan Roh Kudus dalam upacara Pembaptisan. “Dibaptis dalam satu Roh”, “Demikian juga kita semua, baik orang Yahudi mahupun seseorang bukan Yahudi, baik hamba mahupun orang bebas; kita semua sudah dibaptiskan oleh Roh yang sama, supaya kita menjadi satu tubuh. Allah sudah mencurahkan Roh yang sama itu kepada kita.” [1 Korintus 12:13].
Jadi Roh dalam peribadi-Nya adalah air yang menghidupkan, yang mengalir, dari Kristus yang disalibkan, “Tetapi salah seorang askar menusuk rusk Yesus dengan tombak, dan pada ketika itu juga keluarlah darah dan air.” [Yohanes 19:34], “Roh Allah, air dan darah; dan ketiga-tiganya memberikan kesaksian yang sama.” [1 Yohanes 5:8] dan yang memberi kita kehidupan abadi. “Tuhan berfirman, ‘Marilah, setiap orang yang haus, minumlah air yang tersedia. Marilah, kamu yang tidak mempunyai wang, terimalah gandum dan makanlah. Mari! Terimalah wan dan susu, tanpa membayar apa-apa.’” [Yesaya 55:1], “Yesus berkata, ‘Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi; tetapi sesiapa minum air yang akan akan Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air ang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal.’” [Yohanes 14:13]
  • Urapan - salah satu lambang Roh Kudus adalah juga urapan dengan minyak, malahan sampai  menjadi sinonim dengan-Nya, “Untuk mengesahkan kita sebagai milik Allah, Allah mengurniai kita Roh Allah di dalam hati kita. Roh itu jaminan bahawa Allah akan mengurniakan semua yang sudah dijanjikan-Nya kepada kita.” [2 Korintus 1:22]
Dalam kepercayaan iman Kristian, urapan adalah tanda sakramental dalam Sakramen Penguatan. Tetapi untuk mengerti sepenuhnya nilai-nilai suci dari perlambangan ini, kita harus kembali ke urapan yang pertama, yang Roh Kudus kerjakan: Urapan Yesus. “Khristos” (terjemahan dari perkataan Ibrani “Mesias”) bererti yang “diurapi dengan Roh Allah”.
  • Api - melambangkan keupayaan transformasi perbuatan Roh Kudus. Dalam “lidah-lidah seperti api” Roh Kudus turun ke atas para Rasul pada pagi hari Pentakosta dan memenuhi mereka, “Lalu mereka nampak sesuatu yang menyerupai lidah api yang menjalar dan menghinggapi setiap orang disitu. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah. Mereka mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa lain, menurut apa yang diberikan oleh Rog Allah kepada mereka.” [Kisah 2:3-5]
  • Awan dan sinar - Roh turun ke atas Perawan Maria dan “menaunginya”, supaya dia mengandung dan melahirkan Yesus, “Malaikat itu menjawab,’“Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah.’” [Lukas 1:35].
Di atas gunung Dia datang dalam rupa awan, “yang menaungi” Yesus, Musa, Elia, Petrus, Yakobus dan Yohanes, dan “satu suara kedengaran dari dalam awan: Inilah Anak-Ku yang Kupilih, dengarkanlah Dia”, “Sementara Petrus berkata demikian, awan datang lalu meliputi mereka, sehingga mereka takut. Dari awan itu terdengar suara berkata, ‘Inilah Anak-Ku yang telah Aku pilih. Dengarkan kata-kata-Nya!’”. [Lukas 9:34-35]
  • Meterai - Meterai adalah sebuah lambang yang berkait rapat dengan pengurapan. Kristus telah disahkan oleh “Bapa dengan meterai-Nya”, “Kamu juga menjadi umat Allah, ketika kamu mendengar berita tentang ajaran benar; iaitu Berita Baik yang membawa penyelamatan kepada kamu. Kamu percaya kepada Kristus, dan untuk menunjukkan bahawa kamu milik Allah, Allah mengurniai kamu Roh-Nya yang telah dijanjikan-Nya itu.” [Efesus 1:13] dan di dalam Dia, Bapa juga memeteraikan tanda milik-Nya atas kita.
Oleh itu di dalam Sakramen Pembaptisan, Penguatan dan Imamat, ketiga-tiga Sekramen ini tidak boleh diulang ini adalah kerana melalui gambaran “materai”, Roh kudus yang menaungi umat Kristian tidak akan terhapus sampai bila-bila.
  • Jari - “Dengan jari Allah” Yesus mengusir iblis, “Aku mengusir roh jahat dengan kuasa Allah dan hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di tengah-tengah kamu.” [Lukas 11:20].
 Sementara itu perintah Allah ditulis dengan “jari Allah” diatas batu, “Selepas Allah berfirman kepada Musa di Gunung Sinai, Allah memberi dia dua buah batu tulis yang telah ditulisi Allah sendiri dengan perintah-Nya.” [Keluaran 31:18].

“Surat Kristus” yang ditulis oleh para Rasul juga ditulis dengan Roh dari Allah yang hidup, bukan pada bongkah-bongkah batu tetapi pada ketulan daging yakni di dalam hati manusia, “Jelaslah bahawa kamu seperti surt yang ditulis oleh Kristus dan dikirimkan melalui kami. Surat ini tidak ditulis dengan dakwat, tetapi dengan Roh Allah yang hidup. Surat itu tidak ditulis pada batu tulis, tetapi pada hati manusia.” [2 Korintus 3:3].
  • Merpati - Waktu Kristus naik dari air Pembaptisan-Nya, Roh Kudus - dalam rupa bentuk seekor burung merpati turun ke atas-Nya dan berhenti di atas-Nya.
Semua hal tersebut diatas merupakan manifestasi terhadap kehadiran kuasa Roh Kudus dalam hidup iman Kristian. Tidak ada kepalsuan dan fakta yang diputarbelitkan oleh Alkitab yang suci. Roh Kudus hadir dan hanya hadir di dalam orang-orang yang mahu menerima-Nya. Pilihan di tangan anda sendiri untuk mempercayai Firman Tuhan.

Bersambung di bahagian yang terakhir.

-Duc in Altum-


Tuesday, February 5, 2013

MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 8


+ Atas Nama Bapa, Putera dan Roh Kudus. Amen

Setelah melihat pentingnya Keilahian Yesus Kristus dan Roh Kudus dalam pemahaman doktrin Tritunggal, pada bahagian ini saya akan meneruskan dengan kesaksian Alkitab Perjanjian Baru mengenai keilahian Yesus Kristus dan pada bahagian berikutnya menyusul keilahian Roh Kudus. 

Pengajaran Kitab Perjanjian Baru tentang Keilahian Yesus

Nama-nama yang dikenakan kepada Yesus Kristus menunjukkan diriNya adalah Allah sejati. 

1. Anak Allah (dan atau Anak saja)

Sebutan "Anak Allah" dan atau "Anak" memiliki erti khusus dalam Alkitab. Sebutan ini berbeza dengan sebutan "anak-anak Allah". Anak-anak Allah boleh merujuk kepada generasi orang beriman (Kejadian 6:2), malaikat-malaikat (Ayub 1:6), umat pilihan Allah (Hosea 1:10), orang yang membawa damai (Matius 5:9), orang yang mengasihi musuhnya (Lukas 6:35) dan orang yang menerima Yesus Kristus (Yohanes 1:12; Roma 8:16)

“Makhluk-makhluk ilahi nampak bahawa gadis-gadis itu cantik. Makhluk-makhluk ilahi itu mengahwini gadis-gadis yang disukai oleh mereka.” [Kejadian 6:2]

“Pada suatu hari makhluk-makhluk syurga menghadap TUHAN, dan si penggoda juga hadir bersama-sama mereka.” [Ayub 1:6]

“Umat Israel akan menjadi sebanyak pasir di laut, tidak dapat dikira atau disukat. Sekarang Allah berfirman kepada mereka, ‘Kamu bukan umat-Ku,’ tetapi akan tiba masanya Dia berfirman kepada mereka, ‘Akulah Allah yang hidup dan kamulah anak-anak-Ku.’” [Hosea 1:10]

“Berbahagialah orang yang membawa kedamaian antara manusia, Allah akan menyebut mereka anak-anak-Nya.” [Matius 5:9]

“Bukan demikian! Hendaklah kamu mengasihi musu kamu dan berbuat baik kepada mereka. Berikan pinjaman dan jangan harap pinjaman itu dikembalikan. Lalu kamu akan mendapat pahala besar dan kamu akan menjadi anak-anak Allah.” [Lukas 6:35]

“Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah.” [Yohanes 1:12]

“Roh Allah bersama dengan roh kita menyatakan bahawa kita anak-anak Allah.” [Roma 8:16]

a. Yesus Kristus adalah Anak Allah

Sebutan "Anak Allah" dan "Anak" hanya ditujukan kepada Yesus Kristus saja.  
“Lalu iblis datang dan berkata kepada-Nya, ‘Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu-batu itu menjadi roti.” [Matius 4:3]

“Kemudian pengikut Yesus yang di perahu sujud menyembah Yesus sambil berkata, ‘Sesungguhnya Engkau Anak Allah!” [Matius 14:33]

“Simon Petrus menjawab, ‘Guru ialah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Hidup.” [Matius 16:16]

“Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib.” [Matius 27:40]

“Setiap kali orang yang dirasuk roh jahat nampak Dia, mereka sujud di hadapan-Nya dan berseru, “Engkaulah Anak Allah!’” [Markus 3:11]

“Semua orang Yahudi di situ menjawab,’Menurut hukum kami dia harus dihukum mati kerana dia mengaku dirinya Anak Allah’”. [Yohanes 19:7]

Baik roh-roh jahat mahupun orang-orang Yahudi tahu dengan jelas bahawa Anak Allah adalah Allah sendiri. Oleh sebab itu lah Iblis menggoda Dia, kerana sebagai Allah, tidaklah mustahil bagi Yesus mengubah batu menjadi roti. Namun Yesus tidak perlu membuktikan hal itu kepada Iblis. Ketika orang-orang mengenali Yesus sebagai Anak Allah mereka tidak ragu menyembah-Nya. Orang-orang Yahudi yang tidak percaya, sangat marah saat Yesus mengaku diri-Nya Anak Allah, kerana dengan cara demikian Dia menyamakan diri-Nya dengan Allah. 

b. Perbezaan "Bapa-Ku" dan "Bapa Kami"

Yesus berkata lagi,’Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak dan mereka yang diberitahu oleh Anak tentang Bapa.’” [Matius 11:27]

“Sepatutnya kamu berdoa begini, ‘Ya Bapa kami yang di syurga, Engkaulah Allah yang Esa, semoga Engkau disembah dan dihormati.’” [Matius 6:9]

Hanya Yesus Kristus  saja boleh boleh memanggil Bapa di syurga, sebagai "Bapa-Ku". Orang Kristian hanya boleh memanggil Bapa di syurga, dengan sebutan "Bapa Kami" di syurga. Tidak ada masalah bagi orang yang percaya untuk mengatakan "Bapa kami di syrga", kerana  Yesus telah mengajar pada orang percaya untuk memanggil Allah sedemikian. Allah adalah bapa kita di syurga. Saat kita mengatakan "Bapa kami", bererrti anda semua dan saya dalam posisi yang sama; anda semua adalah manusia, dan saya juga manusia. Di atas anugerah-Nya, maka kita menjadi anak-anak Allah, dan boleh memanggil Allah di syurga dengan sebutan "Bapa kami" atau "Bapa kita".

Tetapi hanya Yesus saja boleh memanggil "Bapa-Ku di syurga."  Oleh kerana itu, "Bapa-Ku" tidak bermaksud itu  "bapamu". Maka dengan demikian "aku" berbeza dengan "kamu". "kamu" adalah manusia, maka "aku" bukan manusia biasa. Kalau "aku" bukan sekadar manusia, dan "Allah" adalah bapaku, maka "aku" adalah Allah. Jadi dengan mengatakan "Bapa-Ku" di syurga, Yesus mengatakan diri-Nya adalah Allah.

Itu sebabnya, orang Yahudi sangat marah dan menuduh Yesus telah menghina Allah, keran dia telah menyamakan diri-Nya sendiri dengan Allah Bapa.  

"Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semaki bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah.” [Yohanes 5:18]

Tetapi Yesus bukan sengaja untuk menyamakan diri-Nya dengan Allah, Dia tidak menghina Allah Bapa, kerana Dia sememangnya dan sesungguhnya Anak Allah serta Allah itu sendiri. 

c. Yesus mengajar kita berdoa "Bapa kami" di syuga



Lalu mengapa Yesus mengajar kita berdoa dengan "Bapa Kami" di syurga? Atau lebih tepatnya mengapa Yesus juga memanggil Bapa di syurga dengan sebutan "Bapa Kami" di syurga. 

Maka disinilah kita melihat Yesus juga adalah manusia seperti kita. Atau lebih tepatnya, Dia  menyamakan diri-Nya dengan kita sebagai manusia. Saat Dia memanggil Bapa di syurga dengan sebutan "Bapa kami", posisinya sama dengan anda semua dan saya sendiri iaitu manusia biasa. 

Dengan sedemikian perlu kita membezakan dwi-karekter yang ada pada Yesus Kristus: Allah dan manusia. 

Saat Dia memanggil "Bapa-Ku", Dia sama dengan Allah Bapa di syurga. 
Saat Dia memanggil "Bapa kami", Dia sama dengan manusia di bumi. 

d. Perbezaan Anak Tunggal Allah dan anak-anak Allah

Anak Tunggal Allah adalah Yesus Kristus, Peribadi kedua Allah Tritunggal, “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.” [Yohanes 3:16]

Anak-anak Allah adalah manusia berdosa kerana mereka apabila mereka mulai menerima Yesus Kristus Anak Tunggal Allah maka mereka akan menerima kuasa menjadi anak-anak Allah, “Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah.” [Yohanes 1:12].  

Dengan kata lain, Yesus Kristus adalah anak sejati Allah Bapa, sedangkan orang yang percaya adalah anak-anak yang diangkat di dalam Yesus Kristus. Yesus Kristus adalah anak sejati Allah Bapa, kerana Dia dilahirkan Allah Bapa di dalam kekekalan. Konsep Allah Anak dilahirkan Allah Bapa perlu pembahasan yang panjang lebar. Oleh sebab itu ia akan dibahas tersendiri. 

Manusia berdosa hanya mampu menjadi anak-anak Allah di dalam Anak Tunggal Allah Yesus Kristus. Penjelasannya adalah kerana:

“Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah.” [Yohanes 1:12].  

“Mereka menjadi anak Allah bukan dengan jalan dilahirkan oleh manusia, tetapi Allah sendiri menjadikan mereka anak-anak-Nya.” [Yohanes 1:13]

“Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita. Kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagai anak tunggal Bapa. Melalui Dia, kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita.” [Yohanes 1:14]

Dari Kitab Yohanes 1:12, orang yg menerima Kristus, adalah orang-orang yang percaya dalam nama-Nya, mereka diberikan kuasa, atau lebih tepatnya hak menjadi anak-anak Allah. Pertanyaannya apakah hubungan percaya nama Yesus lalu mendapatkan hak menjadi anak-anak Allah; siapa yang memberikan hak tersebut? 

Jawapannya adalah Kristus Yesus adalah Anak Tunggal Bapa (Yohanes 1:14). Sebagai Anak Tunggal Allah, maka tidak ada lagi anak-anak lain maka di saat orang menerima Kristus Yesus, mereka termasuk didalam nama-Nya, dengan demikian hak itu diberikan Anak Tunggal Allah kepada mereka, dan jadilah mereka anak-anak Allah di dalam Anak Tunggal Allah. Oleh sebab itu orang percaya disebut tubuh Kristus kerana kita digabungkan didalam-Nya. 


2. Yesus Kristus disebut Firman (Logos)

Bahawa Yesus Kristus disebut Firman adalah sangat penting kerana Injil Yohanes menyatakan bahawa Firman adalah Allah. 

“Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu sama dengan Allah.” [Yohanes 1:1]


3. Yesus Kristus disebut Allah 

“Thomas berkata kepada Yesus, ‘Ya Tuhanku! Ya Allahku’.” [Yohanes 20:28]

“Kita tahu bahawa Anak Allah sudah datang dan sudah memberi kita pengertian, supaya kita mengenal Allah yang benar. Kita hidup bersatu dengan Allah yang benar kerana kita hidup bersatu dengan Anak-Nya Yesus Kristus. Inilah Allah yeng benar, dan inilah hidup sejati dan kekal.” [1 Yohanes 5:20]

Kedua-dua ayat di atas jelas menyatakan Yesus Kristus adalah Allah. Bahkan di dalam Kitab 1 Yohanes 5:20 menyatakan bahawa Yesus Kristus adalah Allah yg benar (yang sejati) atau bahasa Inggeris menterjemahkan menjadi the true God. 

Bersambung di bahagian seterusnya. MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 9

-Duc in Altum-


MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 7


+ Atas Nama Bapa, Putera dan Roh Kudus. Amen

Di catatan sebelumnya saya telah memaparkan ada "tanda yang samar-samar" di dalam Kitab  Perjanjian Lama tentang Allah Yang Esa namun memiliki tiga peribadi, baik dari segi pemakaian kata pengganti majmuk "kita" mahupun kemunculan "Malaikat Allah".

Dalam bahagian ini, saya akan menerangkan pula pengajaran Allah Tritunggal di dalam Kitab Perjanjian Baru.

Sebelum kita memasuki topik perbincangan ini dengan lebih mendalam, ada baiknya kita kembali memperhatikan 2 perkara berikut ini:

1. Pemakaian istilah bukti (proof) dan penyataan (revelation)
  • Istilah "bukti" dipakai dalam 3 erti: bukti ilmiah (scientific proof), bukti sejarah (historical proof), dan bukti logik (logical proof). 
  • Bukti ilmiah adalah satu fakta yang boleh diulang (diverifikasi) secara ilmiah (di makmal misalnya). Contoh air membeku pada suhu dan tekanan tertentu. Fakta ini boleh diulang di makmal. Kita sebut ini bukti ilmiah.
  • Bukti logik adalah fakta yang terbukti secara analisa logik. Misalnya di dalam bilik 1 dan bilik 2 terdapat gas beracun telah dipasangkan oleh pengganas, Henry telah dikurung oleh pengganas di dalam bilik 2; maka kesimpulannya Henry pasti meninggal dunia kerana menghidu gas beracun itu. Dengan demikian kesimpulan Henry pasti mati terbukti, jika ia adalah benar. Kita sebut ini bukti logik.
  • Bukti sejarah adalah fakta yang dikukuhkan oleh kesaksian yang diuji (realiable witnes). Misalnya, Tunku Abdul Rahman adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Fakta ini tidak boleh diulang di makmal. Kita hanya boleh "membuktikan" bahawa benar ada yang insan bernama Tunku Abdul Rahman dan dia adalah Perdana Menteri pertama melalui saksi-saksi ketika pemerintahan beliau ataupun melalui catatan bertulis, gambar, rakaman filem mahupun audio. Fakta itu akan terbukti atau tidak, bergantung kepada adakah saksi dan bukti ini diuji kesahihannya. Mungkin ada saksi yang palsu atau bahan bukti yang palsu, maka hanya kesaksian yang teruji sahaja yang boleh dipegang. 

Pengertian berbagai bukti penting bagi kita dalam membicarakan kemanusiaan dan keilahian Kristus Yesus. 

Pertama, bahwa fakta Yesus Kristus pernah hidup di dunia tidak mampu di buktikan secara ilmiah, sama seperti kita tidak mampu membukti Tunku Abdul Rahman pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia di makmal. Fakta ini hanya boleh dibuktikan secara sejarah, iaitu melalui kesaksian-kesaksian orang-orang yang pernah melihat Yesus secara langsung (yakni murid-murid Yesus, yang telah menuliskan kesaksian mereka dalam Alkitab) atau pun catatan sejarah pada zaman tersebut (catatan sejarah Kerajaan Romawi misalnya). 

Kedua, bahawa fakta Yesus adalah Tuhan, tidak dapat dibuktikan baik secara ilmiah, maupun secara sejarah, namun hanya boleh diterima melalui iman. Maka disini perlu ditekankan bahawa Tuhan tidak boleh dibuktikan, tetapi Tuhan yang menyatakan diri-Nya ada dan siapa Dia. 

Jadi disini, ada dua hal yang saling berkait, pertama bahawa murid-murid Yesus bersaksi, dan menuliskan kesaksian mereka dalam Alkitab, ini adalah bukti kuat secara sejarah, kerana mereka adalah saksi-saksi yang teruji dan kesaksian mereka memiliki keupayaan (reability). Namun, bahawa adakah seseorang dapat menerima kesaksian mereka tidak semata-mata kerana fakta tersebut benar, tetapi harus ada pekerjaan Roh Kudus yang membukakan mata hati mereka. Maka percaya Yesus adalah berdasarkan iman, bukan kerana bukti. Bukan kerana percaya secara membuta. Tetapi iman harus mendahului bukti. Tanpa iman, bukti apapun tidak akan meyakinkan. Kalau mata buta, cahaya sekuat apapun tidak ada gunanya. Kalau telinga pekak, bunyi sekuat apapun tidak ada gunanya. Hanya saat iman muncul, maka manusia mampu melihat bukti-bukti itu dan makin yakinlah iman mereka. 

Maka bukti bukan untuk membuat orang tidak percaya menjadi percaya, tetapi bukti adalah untuk membuat orang percaya semakin percaya. 

2. Keilahian Yesus Kristus dan Roh Kudus adalah keutamaan di dalam pemahaman Tritunggal

Doktrin Tritunggal boleh diungkapkan dengan pernyataan berikut: 
1. Hanya ada satu Allah Yang Esa. 
2. Bapa adalah Allah. 
3. Anak adalah Allah. 
4. Roh Kudus adalah Allah. 
5. Bapa bukan Anak; Anak bukan Roh Kudus; dan Roh Kudus bukan Bapa. 
6. Bukan tiga Allah, tetapi satu Allah. 

Dari keenam-keenam pernyataan diatas: 
1. Pernyataan 1 & 2 diterima oleh semua penganut monoteisme.  

2. Pernyataan 3 & 4 hanya diterima oleh iman Kristian. Maka keilahian Kristus dan Roh Kudus adalah kunci dalam memahami doktrin Kristian.

Jika boleh ditunjukkan dengan jelas dari Alkitab bahawa Yesus Kristus dan Roh Kudus adalah Allah. Maka pernyataan yang seterusnya (5&6) adalah masalah pengertian semata-mata.

Adakah seseorang mampu memahami atau tidak, konsep satu Allah dalam 3 peribadi, ini bukan lagi masalah iman, tetapi masalah pemahaman. Ertinya orang boleh sahaja tidak mampu memahami Allah yg Esa dalam 3 peribadi yg berbeza, namun dengan iman mereka menerima Bapa, Anak, dan Roh Kudus sebagai Allah yang seutuhnya, maka mereka adalah orang Kristian. 

Tetapi jika seseorang menolak Yesus Kristus dan Roh Kudus sebagai Allah. Maka ini bukan lagi masalah pengertian, tetapi masalah iman. Maka dalam hal ini, penolakan daripada mereka akan menjadikan mereka mudah untuk berpaling daripada Kristian dan memilih  agama lain atau pun mudah terlibat dengan ajaran sesat.

Jika mereka menolak Yesus Kristus dan Roh Kudus sebagai Allah, walaupun mereka percaya Allah itu Esa adanya, namun mereka tidak menyebut diri "Kristian", maka mereka disebut berbeza agama, misalnya agama Islam dan agama Yahudi.

Jika mereka menolak Yesus Kristus dan Roh Kudus sebagai Allah, walaupun mereka percaya Allah itu Esa adanya, dan menerima Allah Bapa sebagai Allah, dan mereka tetap menyebut diri "Kristian,"  maka mereka disebut ajaran sesat. Dalam hal ini misalnya Arianisme, Tropiki, Unitarianisme, Saksi Yehova, Mormon, dan lain-lain lagi. 

Doktrin Tritunggal bertolak dari penerimaan Yesus Kristus dan Roh Kudus sebagai Allah seutuhnya. Dalam hal ini Allah Bapa bukan tidak penting, tetapi kerana keilahian Allah Bapa tidak pernah dipersoalkan. Oleh sebab itu doktrin Tritunggal harus dimulai dengan menunjukkan dari Alkitab bahawa Yesus Kristus dan Roh Kudus adalah Allah seutuhnya. 

Bersambung di bahagian seterusnya. MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 8

-Duc in Altum-


MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 6


+ Atas Nama Bapa, Putera dan Roh Kudus. Amen

Pada catatan sebelum ini, saya telah menceritakan bagaimana Alkitab Perjanjian Lama menunjukkan kemajmukan peribadi Allah dan juga telah ditunjukkan ayat-ayat yang membuktikan penciptaan oleh ketiga-tiga peribadi Allah. 

Seterusnya saya akan melanjutkan perbincangan kita dengan gambaran berikutnya. 

KEMUNCULAN “MALAIKAT ALLAH” DI DALAM PERJANJIAN LAMA 

Dalam Kitab Perjanjian Lama, banyak tercatat kemunculan malaikat-malaikat. Namun ada satu malaikat yang sangat khusus, maka penerjemah Alkitab selalu memakai huruf besar untuk menyebutnya: "Malaikat Allah" atau "Malaikat TUHAN". 

a. Malaikat TUHAN menyatakan diri kepada Hagar saat ia melarikan diri dari Sarai 

“Malaikat TUHAN menjumpai Hagar dekat mata air di padang gurun, di jalan yang menuju ke padang gurun Syur. Malaikat itu berkata, ‘Hagar, hamba Sarai, engkau dari mana dan hendak ke mana?’ Hagar menjawab, ‘Hamba melarikan diri daripada tuan hamba, Sarai.’ Malaikat itu berkata, ‘Kembalilah kepadanya dan layanilah dia.’ Kemudian malaikat itu berkata, ‘Aku akan memberikan keturunan yang sangat banyak kepadamu, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka. Tidak lama engkau akan melahirkan seorang anak lelaki, namakan dia Ismael, kerana TUHAN sudah mendengar tangisanmu.” [Kejadian 16:7-11]

Yang menarik adalah Hagar tidak mengatakan dia melihat seorang malaikat biasa, tetapi sebalinya bertemu dengan Tuhan sendiri.  “Hagar bertanya dalam hati, ‘Benarkah aku nampak Allah dan aku masih hidup?’ Oleh itu dia menyebut TUHAN yang sudah berfirman kepadanya itu ‘Allah Yang Melihat’.” [Kejadian 16:13]

b.  Malaikat Allah menyatakan diri kepada Hagar dan menyelamatkan Ismael yang hampir mati kehausan 

“Allah mendengar suara Ismael dan dari langit malaikat Allah berkata kepada Hagar, ‘Apakah yang engkau susahkan, Hagar? Janganlah takut. Allah sudah mendengar tangisan anakmu.’” [Kejadian 21:17].  Perhatikan ayat ini; “dan dari langit malaikat Allah berkata” .

c. Malaikat Allah menyatakan diri kepada Abraham dan menghalangnya daripada menyembelih Ishak

“tetapi dari langit malaikat TUHAN berseru kepadanya, ‘Abraham, Abraham!’ Abraham menjawab, ‘Ya, Tuhan’. ‘Janganlah sakiti anak itu, jangan lakukan apa-apa terhadapnya’, kata malaikat itu. ‘Sekarang Aku tahu bahawa engkau menghormati dan mentaati Aku, kerana engkau tidak enggan menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku.’’ [Kejadian 22:11-12]. Di sini Abraham tidak menyatakan yang dia bertemu dengan malaikat biasa, tetapi melalui jawapan ‘YA TUHAN’  sudah cukup untuk menerangkan dia bertemu dengan Tuhan sendiri.

Sekali lagi Abraham membuktikan yang dia berjumpa dengan Tuhan melalui ayat berikut, “Abraham, menamakan tempat itu ‘TUHAN Menyediakan Apa Yang Diperlukan’. Sampai sekarang pun orang berkata, ‘Di atas gunung-Nya TUHAN menyediakan apa yang diperlukan.’” [Kejadian 22:14]

Sekali lagi saya ingin anda semua perhatikan disini,
Malaikat Tuhan berseru dan menyelamatkan Ishak, sama seperti Dia berseru dan menyelamatkan Ismael. Ini mengingatkan kita, tentang Allah Juruselamat. Di Perjanjian Baru, barulah ia menjadi satu kenyataan, bahawa Dialah Yesus Kristus, Allah yang menjadi manusia untuk menyelamatkan manusia. 

d. Malaikat Allah menyatakan diri kepada Yakub

“Malaikat Allah berkata kepadaku dalam mimpi itu, ‘Yakub!’ Aku pun menjawab ‘Ya’”. [Kejadian 31:11]

Disini sekali lagi kita tahu malaikat yang dilihat oleh Yakub bukanlah malaikat biasa, namun adalah diri Tuhan sendiri. Bukti bahawa malaikat itu adalah Tuhan melalui ayat ini,“Akulah Allah yang telah menampakkan diri kepada mu di Betel. Di sana engkau telah mentasbihkan sebuah batu peringatan, dengan menuang minyak zaitun di atasnya. Di sana pula engkau bersumpah kepada-Ku. Sekarang bersiaplah dan kembalilah ke negeri kelahiranmu.’” [Kejadian 31:13]

e. Malaikat TUHAN menyatakan diri kepada Musa

“Di sana malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Musa dalam api yang menyala di tengah semak. Musa nampak semak itu menyala, tetapi tidak terbakar. ‘Aneh!’ fikirnya. ‘Mengapa semak itu tidak terbakar? Baiklah aku melihat dari dekat.’ Apabila TUHAN nampak Musa menghampiri-Nya, TUHAN memanggil dia dari tengah semak itu, ‘Musa, Musa!’ Musa menjawab ‘Ya, aku di sini.’ Allah berfirman, ‘Jangan datang dekat-dekat. Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci. Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Oleh itu Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Allah.” [Keluaran 3:2-6]

Amat jelas bahawa Malaikat Tuhan yang menampakkan diri kepada Musa adalah Allah sendiri. Dia juga Malaikat Allah yang sama yang telah menyatakan diri kepada Abraham, Ishak dan Yakub.

f. Malaikat Allah menyatakan diri kepada Bileam

“Kemudian TUHAN membolehkan Bileam melihat malaikat TUHAN yang berdiri di situ dengan pedang terhunus, lalu Bileam sujud menyembah.” [Bilangan 22:31]

Perhatikan disini malaikat biasa tidak akan pernah menerima sembah sujud. Tetapi Malaikat TUHAN adalah Tuhan sendiri, maka Dia menerima sembah sujud daripada manusia. 

“Aku, Yohanes sudah mendengar dan melihat segala perkara ini. Setelah aku mendengar dan melihatnya, aku bersujud di hadapan malaikat yang menunjukkan segala perkara itu kepadaku. Aku hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, ‘Janganlah sembah aku, kerana aku pun hamba seperti engkau dan seperti saudara-saudaramu para nabi itu, dan seperti semua orang yang mentaati kata-kata di dalam kitab ini. Sembahlah Allah!’” [Wahyu 22:8-9]

“Apabila Petrus tiba, Kornelius menyambut dia dan sujud dihadapannya. Tetapi Petrus menyuruh dia bangun,’Bangunlah’, katanya, ‘Saya sendiri pun manusia.’” [Kisah 10:25-26]

SIAPAKAH MALAIKAT ALLAH INI?

Berdasarkan ayat-ayat yang dipetik dari Alkitab yang saya nyatakan diatas, amat jelas Malaikat Allah adalah ALLAH itu sendiri. Namun dari ketiga-tiga Peribadi Allah yang manakah yang dimaksudkan dengan Malaikat Allah ini? Melalui Alkitab kita boleh menangkap bahawa peribadi yang ked adalah Anak Allah, Yesus Kristus sendiri. Itu sebabnya Yesus berkata Abraham telah melihat Diri-Nya. 

“Bapa kamu Abraham bersukacita kerana akan melihat masa kedatangan-Ku. Dia sudah melihatnya dan dia bergermbira.” [Yohanes 8:56]

Orang Yahudi tidak memahami Anak Allah yang kekal, maka mereka fikir tidak mungkin Yesus yang umurnya belum sampai 50 boleh bertemu dengan Abraham, “Mereka berkata kepada Yesus, ‘Umurmu belum lagi lima puluh tahun dan kamu sudah melihat Abraham?” [Yohanes 8:57]

Oleh itu enyataan Malaikat Allah di dalam Perjanjian Lama secara samar-samar telah menunjuk kepada peribadi Allah yang kedua iaitu Anak Allah. 

Bersambung pada bahagian seterusnya. MEMAHAMI DOKTRIN TRINITAS / TRITUNGGAL BHG. 7

-Duc in Altum-